Pengenalan Arowana
AROWANA
AROWANA terkenal sebagai ikan
unik yang tidak ternilai harganya. Arowana termahal di dunia yang mencecah
ribuan ringgit ialah arowana emas Malaysia, semestinya berasal dari negara ini.
Kedudukan Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa menjadi lokasi terbaik
bagi arowana membiak, sama ada di habitat semula jadi atau di dalam kolam
ternakan. Ikan ini tidak boleh membiak di negara beriklim sederhana seperti
Jepun, China, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.
Walaupun terdapat pelbagai jenis
arowana yang wujud di seluruh dunia seperti di Amerika Selatan, Australia dan
Afrika, arowana Asia yang ada di negara ini merupakan yang paling cantik,
paling berharga dan paling diminati di seluruh dunia. Kepada peminat dan
masyarakat umum yang sangat meminati ikan hiasan ini, jangan lepaskan peluang
untuk memiliki buku Arowana Ikan Hiasan Bernilai yang kini sudah pun
berada di pasaran. Buku setebal 102 halaman hasil nukilan Mohamad Zaini
Suleiman ini mengandungi pelbagai maklumat yang bermanfaat tentang riwayat
arowana.
Terdapat enam bab dalam
kandungan buku ini yang menceritakan tentang perihal arowana. Bab pertama
merungkai kisah di sebalik populariti arowana, kejayaan pembiakan arowana, asal
usul arowana dan sifat fizikal arowana. Tahukah anda bahawa pada masa dahulu,
arowana dikenali sebagai ikan kelisa. Ia juga dikenali sebagai ikan sarung
golok di negeri pantai timur Malaysia. Selain dijual, dijadikan hidangan atau
dijadikan pekasam oleh nelayan, dahulu ikan ini tidak mempunyai keistimewaan
jika dibandingkan dengan ikan air tawar lain seperti lampam sungai, terbul,
tembakang dan sebaru. Kelisa yang dahulu hidup di habitat semula jadi di hulu
sungai, kini dikenali sebagai arowana dan dipelihara di dalam rumah atau di
dalam pejabat kerana sering dikaitkan dengan simbol kemewahan serta kejayaan dalam kerjaya
atau perniagaan seseorang.
Bab kedua menerangkan tentang jenis arowana yang terdapat di seluruh dunia dan yang dibiak di Malaysia. Terdapat tiga genus arowana di seluruh dunia, iaitu genus Scleropages, Osteoglossum dan Heterodontis yang tergolong dalam famili Osteoglossidae. Spesies yang terdapat di Malaysia dan Indonesia ialah Scleropages formosus. Terdapat tiga jenis utama arowana Asia di negara ini, iaitu arowana emas, arowana merah dan arowana hijau. Selain itu, terdapat pelbagai spesies di seluruh dunia yang tercatat dalam buku ini.
Keunikan arowana yang
menyebabkannya begitu bernilai dijelaskan secara terperinci oleh penulis dalam
bab ketiga. Antara keunikan arowana termasuklah warna sisik, sesungut, kelakuan
dan cara pembiakan. Bab keempat pula menceritakan tentang mangsa atau makanan
ikan ini yang bersifat pemangsa atau pemakan daging. Ikan arowana yang hidup di
habitat semula jadi menjadikan apa- apa sahaja yang ada di dalam air seperti
ikan, udang dan serangga termasuklah reptilia dan mamalia kecil yang
termasuk ke dalam air sebagai mangsanya. Sementara itu, ikan yang dipelihara
atau diternak di dalam kolam akan diberi makanan seperti cengkerik, belalang,
udang, anak ikan, katak, ulat gandum dan pelet.
Bab kelima pula menerangkan
tentang punca penyakit dan rawatan yang perlu dilakukan apabila arowana yang
dipelihara menghidapi penyakit. Tanda-tanda awal arowana berpenyakit dijelaskan
supaya pemelihara dapat mengenal pasti ikan kesayangan mereka seperti warna
yang semakin pucat dan tidak bermaya, bahagian hujung sirip yang pecah-pecah
dan bergerigi, tidak mahu makan atau morfologi badannya kelihatan tidak normal.
Ikan yang berpenyakit perlukan rawatan, namun memerlukan kos dan berisiko
tinggi. Oleh sebab itu, penjagaan yang sempurna terutama mutu air perlu diambil
kira sebelum ikan ini dijangkiti penyakit. Individu yang ingin memelihara ikan
ini, tetapi tidak mengetahui cara penjagaan di dalam akuarium bolehlah
mendapatkan penjelasan lanjut yang dihuraikan dengan lengkap dalam buku ini
yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini.
Rencana ini dipetik daripada Dewan
Kosmik Januari 2012
RM45.00 (kulit biasa) RM65.00 (kulit keras)
No comments:
Post a Comment