Friday, 21 December 2012

Pengenalan Arowana

AROWANA

AROWANA terkenal sebagai ikan unik yang tidak ternilai harganya. Arowana termahal di dunia yang mencecah ribuan ringgit ialah arowana emas Malaysia, semestinya berasal dari negara ini. Kedudukan Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa menjadi lokasi terbaik bagi arowana membiak, sama ada di habitat semula jadi atau di dalam kolam ternakan. Ikan ini tidak boleh membiak di negara beriklim sederhana seperti Jepun, China, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis arowana yang wujud di seluruh dunia seperti di Amerika Selatan, Australia dan Afrika, arowana Asia yang ada di negara ini merupakan yang paling cantik, paling berharga dan paling diminati di seluruh dunia. Kepada peminat dan masyarakat umum yang sangat meminati ikan hiasan ini, jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku Arowana Ikan Hiasan Bernilai yang kini sudah pun berada di pasaran. Buku setebal 102 halaman hasil nukilan Mohamad Zaini Suleiman ini mengandungi pelbagai maklumat yang bermanfaat tentang riwayat arowana.

Terdapat enam bab dalam kandungan buku ini yang menceritakan tentang perihal arowana. Bab pertama merungkai kisah di sebalik populariti arowana, kejayaan pembiakan arowana, asal usul arowana dan sifat fizikal arowana. Tahukah anda bahawa pada masa dahulu, arowana dikenali sebagai ikan kelisa. Ia juga dikenali sebagai ikan sarung golok di negeri pantai timur Malaysia. Selain dijual, dijadikan hidangan atau dijadikan pekasam oleh nelayan, dahulu ikan ini tidak mempunyai keistimewaan jika dibandingkan dengan ikan air tawar lain seperti lampam sungai, terbul, tembakang dan sebaru. Kelisa yang dahulu hidup di habitat semula jadi di hulu sungai, kini dikenali sebagai arowana dan dipelihara di dalam rumah atau di dalam pejabat kerana sering dikaitkan dengan simbol kemewahan serta kejayaan dalam kerjaya atau perniagaan seseorang.

Bab kedua menerangkan tentang jenis arowana yang terdapat di seluruh dunia dan yang dibiak di Malaysia. Terdapat tiga genus arowana di seluruh dunia, iaitu genus Scleropages, Osteoglossum dan Heterodontis yang tergolong dalam famili Osteoglossidae. Spesies yang terdapat di Malaysia dan Indonesia ialah Scleropages formosus. Terdapat tiga jenis utama arowana Asia di negara ini, iaitu arowana emas, arowana merah dan arowana hijau. Selain itu, terdapat pelbagai spesies di seluruh dunia yang tercatat dalam buku ini.
Keunikan arowana yang menyebabkannya begitu bernilai dijelaskan secara terperinci oleh penulis dalam bab ketiga. Antara keunikan arowana termasuklah warna sisik, sesungut, kelakuan dan cara pembiakan. Bab keempat pula menceritakan tentang mangsa atau makanan ikan ini yang bersifat pemangsa atau pemakan daging. Ikan arowana yang hidup di habitat semula jadi menjadikan apa- apa sahaja yang ada di dalam air seperti ikan, udang dan serangga termasuklah reptilia dan mamalia kecil yang termasuk ke dalam air sebagai mangsanya. Sementara itu, ikan yang dipelihara atau diternak di dalam kolam akan diberi makanan seperti cengkerik, belalang, udang, anak ikan, katak, ulat gandum dan pelet.

Bab kelima pula menerangkan tentang punca penyakit dan rawatan yang perlu dilakukan apabila arowana yang dipelihara menghidapi penyakit. Tanda-tanda awal arowana berpenyakit dijelaskan supaya pemelihara dapat mengenal pasti ikan kesayangan mereka seperti warna yang semakin pucat dan tidak bermaya, bahagian hujung sirip yang pecah-pecah dan bergerigi, tidak mahu makan atau morfologi badannya kelihatan tidak normal. Ikan yang berpenyakit perlukan rawatan, namun memerlukan kos dan berisiko tinggi. Oleh sebab itu, penjagaan yang sempurna terutama mutu air perlu diambil kira sebelum ikan ini dijangkiti penyakit. Individu yang ingin memelihara ikan ini, tetapi tidak mengetahui cara penjagaan di dalam akuarium bolehlah mendapatkan penjelasan lanjut yang dihuraikan dengan lengkap dalam buku ini yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini.


Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

RM45.00 (kulit biasa) RM65.00 (kulit keras)


No comments:

Post a Comment